|
Karya Sastera InMind's
 Sedangkan jam yang mati di dinding boleh memberikan waktu yang tepat dua kali sehari, inikan pula manusia yang hidup dan bernyawa...
last modified Jun 16, 2005 at 8:15
Denai yang ku telusuri Saban hari bersamamu Seolah sudah mengenal Derap tapak kaki kita
Di hujung semak itu dulu Aku hampir saja pengsan Kerana pertama kali Terserempak ular lidi
Masih ku ingat tawamu Katamu, gadis kota Tidak pernah merasa bisa Akibat terlalu dimanja
Waktu itu ku cubit lenganmu Dan perlahan kau bisikkan Ke telingaku, katamu; "Aku sudah tidak rasa sakitnya kerana aku sudah biasa dengan peritnya luka"
sesampai di puncak bukit itu kau genggam erat jemariku katamu lagi; "Biarpun sakitnya luka asalkan engkau ada aku tetap bahagia"
CATATAN OP: Sajak ini ditulis dalam tahun 2000. Sajak ini ku tulis khas buat insan yang amat ku cinta. Cinta, kasih dan sayangmu adalah sumber ilhamku. Terima kasih yang tidak terhingga buatmu sayang.
ISTANA PASIR
menyusuri pantai ini sendiri aku kini ombak yang menyapa kaki ku perhati namun bila aku cuba menyentuhi ia berlalu meninggalkan aku sendiri lagi
seorang anak kecil berlari menghampiri digemgamnya sebungkah karang katanya buat lambang menara istana pasir yang dibinanya penuh cita
ketika menoleh istana itu musnah dihempas ombak ganas namun anak kecil itu tersenyum dan dengan tekun membina lagi istana pasir penuh cinta tanpa jemu dan putus asa
~circa2000~
AKU TIDAK MAHU JADI KUDIS
biarkan aku lepaskan semua amarah yang selama ini tersengkang di dada kerana aku enggan tunduk pada kegagalan
egokah bila kejantananku enggan beralah pada kehendak tuntutan mereka salahkah jika aku tak pernah mahu peduli tentang hati mereka
penting dirikah aku bila aku tegas berpegang prinsip Engkau! Engkau! Aku! Aku!
aku tak pernah suruh mereka sayang aku mereka yang terhegeh menjajakan cinta dengan menetapkan hantaran mahal belaka!
walaupun ada yang sanggup lari ke seberang bersama aku masih punya harga diri aku tak mahu jadi kudis! jijik dipandang orang oleh itu lebih baik aku hidup membujang!!!
~5 November 2005~
KERONCONG UNTUK AKU
gitar kapuk di sudut almari seolah berteriak ke arahku ambillah dan petiklah aku nyanyikan sepimu lagukan sendumu
lantas gitar itu ku pegang ku bersihkan debu yang melekat ku petik talinya satu persatu ku lagukan melodi sayu keronsong untuk aku!
sambil memejamkan mata ku hayati lembut alunan melodi ku bayangkan wajahmu yang terlalu ingin ku renunggi lalu cuba ku sentuhi keningmu
tiba-tiba tanganku bagai dilibas pedang tajam tali gitar itu putus dan jariku terluka namun yang ku lihat meNgalir bukan darah tapi airmata
~circa2000~
KUALA LUMPUR TIDAK PERNAH SIAP
terbatuk-batuk injin kereta tercatuk membuntuti sesak lagi kota ini
di tempat duduk belakang ibuku leka memandang tepi jalan yang berlubang
katanya; sejak merdeka hingga kini Kuala Lumpur tak pernah siap!
dan aku hanya mampu tersenyum melihat bangunan,lubang dan jalan tumbuh bagai cendawan
circa 2000
CATATAN OP: Lagi sajak-sajak lama
NOHA (I)
sepagi ini ketika beburung berkicap riang yang terdengar hanya sindir sang gagak seolah mentertawakan kisah kita
namun kau dan aku masih mampu tersenyum dan berbicara tentang keindahan hasil tulisan mereka yang bergelar sasterawan negara
cerita tanah, air dan udara semua terungkap bersama sesekali terselit jua kisah cinta luka dalam senda yang bersahaja
NOHA (II)
kau tulis lagi lagu itu bertabir di celahan rindu namun aku tidak mampu tersenyum dan ketawa kerana jiwa penuh hiba
lagu itu kau biarkan tertulis tanpa melodi dan aku cuba bernyanyi tapi kau hanya memerhati tanpa kata dan suara
katakan Noha adakah aku perlu berdiri menghampiri mengharap suatu masa kau mengerti rasa yang tersimpan di hati
NOHA (III)
sering ku angankan jemarimu mencalitkan sindur di dahiku dengan lafaz ijab dan qabul ikatkanlah mangar sutra di jari manisku sebagai bukti kasih kita
dan mimpi menjawap semua persoalan yang teradu pada-Nya andai itu takdir kita berpisah buat selamanya aku terima dengan redha tersurat sudah sekufu dia buatmu
aku seharusnya menduga epilog cinta berakhir episod luka bermula semenjak kau tiada
namun hatiku pejal menantimu ku harap lagi mimpi itu walau ku tahu hadirmu bukan takdir untukku
NOHA (IV)
Noha, ku tatap lagi matamu yang jernih berkaca sejernih air telaga ataukah hanya getar jiwa dimainkan asmara
mungkinkah sinar mata Oedipus dan Iocasta yang kau miliki membuat aku melangkah bagai tidak terjejak tanah
lantas berani ku dakapi jasad terdedah penuh ghairah namun yang terdengar derik desah api menongkah
aku jadi tuna kama malah tuna segala dengan suara hiba dialun manzil sebagai shifa' buat diri yang sakit jiwa dan raga
NOHA (V)
Noha, sudah sampai noktahnya dan aku terpaksa memilih untuk terus bermimpi atau menghadapi realiti
lantas ku biarkan namamu terpahat di sejarah diri kerana aku tidak mampu membunuh kata hati
camar yang berterbangan meneriakkan lagu bayu bercerita tentang sepasang jiwa yang ditakdir bertemu
dalam bicara bisu bunyi ombak menghempas batu bagaikan memberitahu yang aku perlu berlalu
sempat ku renung matamu di celahan pucuk Rhu dan ku dakap erat gambarmu di hatiku
InMind's Circa 2000 Pantai Sepat Kuantan, Pahang
CATATAN OP: Versi sajak Noha ditulis sekitar tahun 2000 dan kebanyakan sajak-sajak tersebut ditulis di Kuantan, Pahang.
Percikan darah merata Semua makhluk berhimpun Terdengar mereka berbisik Sesama sendiri Manusia ini sesat! Manusia ini munafik! Biar dia mati terseksa!
Manusia itu Terlentang jasadnya Luka di dadanya Membuakkan darah Namun tiada siapa Yang membantunya Manusia itu seolah Dihukum untuk menderita
Apa yang telah terjadi? Soalku kepada manusia itu Sambil mengoyakkan secebis Bahagian hijabku Buat menyumbat luka Di dada nya
Namaku Hayad! Aku ditikam oleh cintaku Jiwaku tak dapat diselamatkan Lagi luka ini terlalu dalam Tinggal sedetik lagi Hanya sedetik saja lagi.....
2 Jamadilawal 1412H Jasad Hayad di masuk ke lahad Jiwanya telah mati Dan aku terus melangkah Meninggalkan pusara cinta itu Dengan tekad untuk Tidak menoleh lagi!
InMind Jumaat 6 Oktober 2000 5.30 petang
CATATAN OP: How can I put into words what I feel?
Aku masih lagi menganyam buih-buih kenangan menjadikannya selimut sunyi dan diammu membiakkan sel-sel zarah senyap dalam lingkungan daerah sepimu
Pergilah!! kata hatimu Pergilah!! kata hatiku di situ kita terpisah
lantas kita bina tembok dari serpihan kaca luka merawat sengsara diri dalam senyap dan sunyi
InMind Kuala Lumpur 1 Syaaban 1422
CATATAN OP: Tercari-cari media apa yang sesuai utk menyimpan karya-karya lapuk tulisan sendiri. Merayap punya merayap akhirnya InMind pilih danchan.com sebagai media yang paling mudah dan tak banyak karenah untuk menguburkan karya-karya lapuk tulisan sendiri agar tidak terus hilang dari InMind. Setiap karya tersebut punya memori yang hidup subur dalam ingatan. Bukankah ingatan itu walau bagaimana pahit pun pasti terkenang juga? Oleh sebab itu selamat membaca!
|